
Oleh Admin
Nampaknya pencalonan mantan MB Negri Sembilan Isa Samad untuk PRK Batang Pinang dengan jelasnya menunjukkan Umno kini berada diambang kepupusan. Nampaknya seruan dan 'nasihat' mantan PM Mamak Mahathir yang lantang membantah pencalonan Perasuah Isa Samad tidak dihiraukan sama sekali oleh pucuk pimpinan BN/Umno.
Lebih serius lagi adalah tindak balas yang akan dilakukan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan penyokongnya kerana memang diketahui umum Khairy memang berhasrat bertanding di Bagan Pinang kerana inilah jalan ringkas menjadi MB di Negri Sembilan setelah diketepikan oleh PM Najib Razak dalam Kabinet Perseketuan. Sudah pasti, kempen Isa Samad akan disabotaj oleh Khairy dan kuncu-kuncunya.
Bacalah sendiri keluhan seorang penyokong Umno, Azli Shukri dalam Blognya mengenai pencalonan Isa Samad sebagai calon BN/Umno di Bagan Pinang:
Mungkin saya tidak layak bercakap soal siapakah calon yang paling layak untuk mempertahankan DUN Bagan Pinang. Hal ini sudah tentulah kerana saya bukan pengundi dan penduduk di sana. Namun demikian, izinkan saya memberi sedikit komentar berhubung isu ini, agar UMNO tidak melakukan kesilapan seperti mana yang berlaku di Permatang Pasir baru-baru ini. Mungkin ramai yang tidak tahu senario sebenar yang berlaku di dalam UMNO berkenaan bagaimanakah cara terbaik untuk memilih seseorang yang difikirkan layak bagi dicalonkan sebagai ADUN/Ahli Parlimen di sesuatu kawasan itu. Dalam kes DUN Bagan Pinang ini senarionya adalah seperti berikut :
Tan Sri Isa Samad merupakan Ketua UMNO Bahagian tersebut - dari segi senioriti seharusnya Ketua UMNO Bahagianlah yang mesti diangkat sebagai calon pilihan raya. Ini adalah bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya perpecahan UMNO di bahagian tersebut, di samping menghindari daripada undi protes dan kelumpuhan jentera pilihan raya yang tidak bergerak ekoran ketidakpuashatian sesetengah pihak. Pucuk pimpinan tertinggi UMNO pasti berhadapan dengan dilema ini. Mungkin satu pihak tidak mahu Tan Sri Isa Samad dicalonkan, kerana beranggapan bahawa dengan meletakkan beliau sebagai calon UMNO, maka parti pembangkang lebih mudah membongkar segala salah laku politik wangnya selama ini. Sekali gus memburukkan lagi keadaan politik di sana. Tetapi, jika pucuk pimpinan tidak mencalonkan beliau, boleh jadi para penyokong Isa Samad pula yang akan memberontak serta melakukan undi protes dan tidak mahu bekerjasama bagi menggerakkan jentera parti untuk membantu calon yang telah dipilih itu.
Inilah dilema yang sering berlaku di dalam UMNO. Kita harus jujur dalam soal ini, dan merombak kembali sistem pemilihan calon pilihanraya yang sudah ketinggalan zaman. Selama ini, budaya dalam pemilihan calon-calon pilihanraya yang mewakili UMNO adalah berasaskan kepada senioriti dan kedudukan jawatan di dalam UMNO bahagian tersebut. Umpamanya, calon pilihanraya yang harus mewakili UMNO mestilah terdiri daripada Ketua Bahagian, atau pun Timbalan Ketua Bahagian, atau pun Naib Ketua Bahagian, atau pun Setiausaha Bahagian dan kemudian, barulah lain-lain jawatan. Perlukan kaedah ini dikekalkan lagi pada ketika ini? Bagaimanakah pula jika Ketua Bahagiannya, Timbalannya, Naibnya, Setiausahanya terlibat dengan rasuah? Masihkan UMNO mahu menjadikannya mereka sebagai calon pilihan raya juga?
UMNO perlu merangka satu mekanisma yang lebih telus dalam memilih ahlinya yang berupaya untuk diketengahkan sebagai calon pilihanraya. Pada hemat saya, mana-mana ahli UMNO pun boleh dipilih sebagai calon pilihanraya - yang penting riwayat hidupnya yang bersih dan pendidikannya pun "ok" (sekurang-kurangnya mempunyai ijazah pertama). Pada hari ini, pengundi semakin bijak, pengundi muda makin bertambah. Golongan ini lebih suka melihat title dan pendidikan sebagai asas untuk memilih seseorang sebagai wakil rakyat di kawasannya.
Jika ditanyakan kepada saya, saya berpendirian bahawa Tan Sri Isa Samad tidak harus dipilih sebagai calon UMNO untuk DUN Bagan Pinang. Hal ini bukanlah kerana saya ingin merendah-rendahkan jasa dan kredibiliti beliau selama ini, sebaliknya senario politik pada hari ini - khususnya untuk UMNO sudah semakin kritikal. Tersilap langkah dan percaturan, maka tunggulah balasannya. Kita tidak mahu pembangkang menjadikan segala sejarah silam Tan Sri Isa Samad sebagai modal politik mereka untuk berkempen. Pembangkang pasti mendakwa, "Tengok UMNO dah tak ada tokoh lain untuk diketengahkan, terpaksa ambil orang lama dan bekas perasuah sebagai calonnya, bukankah ini bukti UMNO semakin nazak? Tak ada calon muda lagi ke UMNO nie?". Sekarang, nah! apa yang hendak kita jawab, jika itu modal dan strategik pembangkang bagi menjatuhkan kredibiliti calon pilihan kita? Kita tiada jawapannya.
Kita harus akui - kerana kita sendiri yang telah menghukum Tan Sri Isa Samad dahulu, dan sekarang kita terimannya kembali untuk menjadi calon parti kita dalam pilihanraya. Bukankah itu sesuatu perkara yang pelik dan aneh? Sekali pun seluruh jawatankuasa UMNO Bagan Telok Kemang menyokong Tan Sri Isa, itu tidak bermakna rakyat akan menyokong UMNO. Pada hari ini, nada UMNO Bahagian sudah tidak sama lagi dengan nada rakyat jelata. Mungkin UMNO Bahagian suka kepada seseorang calon itu, tetapi rakyat tidak suka, dan boleh jadi rakyat suka, tetapi UMNO Bahagian pula yang tidak suka. Jadi mana keutamaan kita sebenarnya? Nak dapatkan calon yang disukai rakyat dan UMNO Bahagian, saya fikir buat masa ini agak sukar. Bukan UMNO tiada tokoh dan calon yang lebih baik di Bahagian masing-masing, tetapi, budaya kita yang suka mencatas bakat muda selama ini, menyebabkan UMNO dilihat seolah-olah tiada pelapis, ditambahkan pula apabila seseorang Ketua UMNO Bahagian itu terlalu lama memegang jawatan tersebut, sehingga ramai golongan muda bertambah muak dan mula berjinak-jinak dengan parti pembangkang.
Kesimpulannya, jika UMNO tidak mahu kehilangan moral, maka pilihlah calon lain dan bukan Tan Sri Isa - saya bercakap jujur, beliau bagus bekerja tetapi kondisi politik sekarang, saya fikir tidak mengizinkan untuk Tan Sri Isa "come back" dalam arus perdana politik Malaysia. Pada saya, sekali pun Tan Sri Isa mampu mempertahankan DUN Bagan Pinang, saya yakin majoriti UMNO akan merosot - dan ini sudah tentu akan menjadi modal pembangkang untuk mendakwa bahawa UMNO semakin hilang sokongan rakyat. Kita harus faham 10% pengundi Cina di DUN Bagan Pinang sebenarnya yang akan menentukan sama ada UMNO akan menang atau pun kalah. Wallahualam.Maafkan saya jika tulisan ini menyinggung hati mana-mana pihak.
Link ke Blog Azli Shukri http://azlishukri.blogspot.com/2009/09/tan-sri-isa-samad-karakatua-muntah-lagi.html

























